Pada aksi yang berlangsung di Pencak Silat Taman Mini Indonesia Indah itu, jaguh pencak silat negara, Mohd. Al Jufferi Jamari tewas kepada pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra selepas bertindak menarik diri dengan meninggalkan gelanggang susulan dakwaan berlakunya keputusan berat sebelah oleh juri.

Megat Zulkarnain yang ditemui media Malaysia dan tempatan meletakkan sepenuhnya kesalahan kekalahan juara dunia 2016 dan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu pada beberapa juri yang mengadili perlawanan itu.

"Saya sudah jangkakan situasi kotor ini akan berlaku dan semalam juga saya telah mengarahkan jurulatih membuat protes sekiranya juri daripada Korea Selatan dan Laos itu bertugas, namun kami terlepas pandang yang akhirnya menyaksikan mereka duduk sebagai juri pada hari ini.

"Kita boleh nampak serangan yang dilakukan Al Jufferi di hadapan mereka langsung tidak diberikan markah, sebaliknya lawannya (Komang) yang mendapat markah.

Akhirnya semua dapat saksikan hak pingat emas Al Jufferi telah dirompak," katanya. - Bernama