Ini berikutan bekas pemain beregu nombor satu dunia itu menolak tawaran diberikan BAM untuk kembali menyertai skuad badminton negara.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beberapa siri perbincangan diadakan dengan Boon Heong termasuk memberi tawaran balas kepada pemain berkenaan.

"Bagaimanapun, sehingga semalam, Boon Heong memberi jawapan yang beliau menolak tawaran kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga BAM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza yakin dengan perancangan dilakukan skuad negara khususnya beregu lelaki bagi menghadapi pusingan akhir Piala Thomas 2018.

Beliau berkata Setiausaha Kehormat BAM merangkap pengurus skuad Piala Thomas negara, Datuk Ng Chin Chai juga akan mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih beregu lelaki Cheah Soon Kit bagi mencari penyelesaian terbaik untuk persiapan skuad negara.

"Kita yakin dengan perancangan dibuat termasuk memasukkan Paulus dalam pasukan. 

"Kita akan tumpukan usaha memperkuatkan lagi pemain beregu sedia ada sebab penting untuk kita mempunyai gandingan beregu yang kuat untuk Piala Thomas," katanya.

Mohamad Norza berkata kem latihan pusat Piala Thomas dan Uber akan diadakan dua minggu menjelang saingan berkenaan yang akan berlangsung pada 20 hingga 27 Mei.

Sementara itu, pada mesyuarat hari ini, BAM menyerahkan geran berjumlah RM251,000 kepada persatuan negeri untuk tujuan pembangunan dan RM90,000 bagi penganjuran kejohanan.

Selain itu, beliau berkata peruntukan RM12,000 sebulan diberikan kepada persatuan negeri untuk menggaji jurulatih serta tambahan RM1,500 bagi membeli bulu tangkis setiap bulan. - Bernama