Juara Liga Amatur Indonesia (Perserikatan) sebanyak sembilan kali itu hanya mengambil masa lapan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi bekas pemain import Melaka United, Marko Simic dari Croatia.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Ratchaburi kembali memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi jaringan pemain pertahanan Thailand kelahiran Jerman, Philip Roller.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Jaimerson da Silva Xavier menjaringkan gol kedua pada minit ke-38 untuk membolehkan Persija Jakarta  mendahului 2-1 pada babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan disambung, Persija Jakarta kembali menggandakan asakan dan berjaya meraih gol ketiga menerusi bekas pemain kebangsaan bawah 23 tahun Indonesia, Novri Setiawan pada minit ke-53 dan keputusan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Persija Jakarta dijadualkan menentang wakil Malaysia, Kelantan pada aksi kedua, Selasa ini.

Kelantan akan menamatkan saingan kejohanan berdepan Ratchaburi pada 20 Januari ini.

Kejohanan sulung itu melibatkan pertembungan tiga penjuru antara kelab termuka di Asia Tenggara.

Berdasarkan format kejohanan, pasukan yang mengutip mata tertinggi selepas dua perlawanan akan diisytiharkan sebagai pemenang serta membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai US$10,000 (RM39,722). - Bernama