Walaupun berjaya ke separuh akhir, namun ketua jurulatih KL, Garmail Singh menggesa barisan pemainnya supaya menampilkan corak permainan lebih tersusun dan jangan mengambil mudah peringkat kalah mati.

"Kami akan bertemu dengan juara Kumpulan B, Selangor pada separuh akhir. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana mereka berjaya mengekalkan momentum kemenangan tanpa kalah dengan jaringan yang besar dalam setiap perlawanan.
 
"Kami perlu lebih berhati-hati dengan ancaman Selangor. Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana berjaya ke pusingan seterusnya selepas berhempas pulas dalam beberapa perlawanan sebelum ini," katanya.

Gol-gol KL diperoleh menerusi ledakan hatrik Mohd. Raid Mohd. Nasir pada minit kedua, 11 dan 16 serta masing-masing dua gol daripada Musakkir Abdullah (m-11, m-49) dan Zulhanafi Mohd. Aidin (m-42, m-57).

Sabah pula sekadar menjaringkan dua gol sahaja melalui Muhd. Azwan Ramlan pada minit ke 20 dan 45.

Selain pertemuan antara KL dan Selangor, satu lagi aksi separuh akhir esok bakal menyaksikan perlawanan dua 'musuh tradisi', Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) bertemu Bukit Aman. - K! ONLINE