Perak akan bertemu Pahang dalam peringkat separuh akhir kedua piala berkenaan di Stadium Perak pada malam esok selepas mereka dikalahkan Pahang 1-3 pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur Sabtu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemberian bonus tersebut diharap dapat menaikkan lagi semangat The Bos Gaurus dalam usaha mendapatkan sekurang-kurangnya dua jaringan tanpa bolos pada malam esok bagi melayakkan mereka mara ke peringkat akhir.

"Saya percaya Perak akan memberi tentangan hebat dalam aksi timbal balik ini walaupun Pahang datang dengan penuh semangat apabila mempunyai bekalan dua gol sebelum ini.

"Namun pada latihan terakhir hari ini, saya lihat para pemain Perak berlatih dengan semangat kental dan saya yakin mereka dapat memberi tentangan dan berjaya mendapatkan dua gol tanpa bolos. Oleh sebab itu saya maklumkan kepada mereka bonus kepada semua pemain dan pengurusan jika mara ke final Piala FA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir berjumpa para pemain dan barisan jurulatih Perak di Stadium Perak di sini sebentar tadi.

Tambah Ahmad Faizal, bonus berganda menanti pasukan Perak jika berjaya menjulang Piala FA berkenaan dan membawanya pulang ke Ipoh, Perak.

"Jadi, saya mahu para pemain fikirkan dengan lebih jauh iaitu mahu membawa pulang Piala FA itu jika ingin dapatkan dua-dua bonus tersebut," katanya.

Bagaimanapun, jumlah amaun bonus kepada pasukan Perak tersebut masih belum dimaklumkan.

Sementara itu, Kapten Perak, Shahrul Mohd. Saad berkata, tiada cara lain untuk mara ke final melainkan menang dua jaringan atau lebih dalam aksi pada malam esok.

"Kami akan memberikan komitmen 100 peratus di atas padang pada malam esok dalam usaha untuk ke peringkat akhir.

"Saya yakin rakan sepasukan akan membuktikan mereka boleh bersaing dengan pasukan lawan pada malam esok," katanya.

Dalam pada itu, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berikrar mahu menebus kesilapan yang dilakukannya sebelum ini sekiranya diberi peluang beraksi pada malam esok. - K! ONLINE