Perancang tengah kebangsaan itu berkata, skuad Harimau Selatan perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencatat kemenangan bagi mengembalikan semula keyakinan penyokong pasukan itu.

"Tidak  kisah siapa sekalipun yang akan diturunkan untuk perlawanan ini, harus memberikan yang terbaik dan mengikut taktikal yang telah diberikan jurulatih.

Kami mahu berfikiran positif dan semestinya mahukan tiga mata kemenangan. Bagi saya, apa yang sudah lepas kita biarkan ia berlalu," kata Safiq menerusi entri terbaharu dalam   laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

Mengulas lanjut, Safiq yang menjadi nadi kejayaan JDT menjulang Piala AFC pada 2015 berkata pasukan berkenaan perlu memperkukuhkan jentera serangan bagi meraih lebih banyak jaringan pada kejohanan kali ini.

Beliau berkata, ketiadaan penyerang import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang mengambil  keputusan meninggalkan JDT secara mengejut, baru-baru ini tidak akan menjejaskan moral rakan sepasukan untuk memburu kemenangan pada aksi malam esok.

"Tiada kesan kepada pasukan, malah perlawanan sebelum ini pun dapat dilihat bahawa prestasi pasukan bertambah baik, Alhamdulillah.
Ini adalah kesan yang positif buat pasukan dan kami akan lalui semua ini dengan terbaik dan kekal positif," kata Safiq.

Satu lagi pertemuan Kumpulan H membabitkan perlawanan antara wakil Indonesia, Persija Jakarta yang akan menerima kunjungan pendahulu kumpulan, Song Lam Nghe An dari Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

JDT kini menduduki tangga kedua Kumpulan H dengan kutipan empat mata di belakang Song Lam Nghe An yang berada di tangga teratas menerusi pungutan  tujuh mata selepas tiga perlawanan. - Bernama