Petrucci yang telah beraksi bersama pasukan satelit Ducati, Pramac untuk tempoh empat tahun dipanggil bagi menyertai pasukan pengeluar bagi menggantikan tempat Jorge Lorenzo yang menyertai pasukan Honda musim 2019.

Pada aksi pramusim di Valencia, Ahad lalu, Petrucci yang menggunakan jentera GP19 berjaya merekod masa terpantas 1 minit 30.959 saat dan hanya dibezakan 0.202 saat dengan Maverick Vinales.

“Saya lihat jentera GP19 hanya melakukan pertukaran kecil dan keadaan jentera lebih baik serta stabil ketika keluar dari selekoh. Bahagian hadapan lebih kuat terutama ketika ingin memecut laju dan lebih ringan.

“Sebelum ini saya lihat sukar untuk me­ngendalikan jentera Ducati tetapi dengan pertukaran dilakukan di Valencia, kami semakin hampir untuk mendapatkan pelarasan yang lebih sempurna.

“Bagaimanapun sesi dua hari di Valencia tidak berapa baik kerana keadaan cuaca tidak baik dan gagal membuat banyak pusingan akibat cuaca buruk tetapi saya gembira kerana setiap kali saya keluar ke litar, saya berjaya memperbaiki masa yang dicatat.

“Buat masa ini saya berkeupayaan tinggi di tengah-tengah selekoh dan semasa keluar dari selekoh tetapi saya kehilangan masa ketika membrek. Saya amat kagumi kuasa yang dijana oleh jentera GP19.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan berharap pada percubaan seterusnya pasukan mampu menambah baik segala kelemahan yang ada,” kata Petrucci. – Agensi