Pada sesi tersebut, pelumba Itali itu merekodkan 1 minit 58.239saat (s) sekali gus mengatasi rekod sepusingan terpantas yang dicatatkan bekas pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa pada musim 2015 dengan catatan 1:59.053s.

Lebih menarik jentera Ducati terus menguasai kelompok hadapan apabila pendatang baharu, Francesco Bagnaia (Alma Pramac Racing) di kedudukan kedua dengan catatan 1:58.302s dan rakan sepasukannya, Jack Miller di tempat ketiga (1:58.366s).

“Semalam (kelmarin) kami menukar beberapa komponen baharu dan cuba semaksimum yang mungkin untuk mendapatkan data yang mencukupi. Jelas ia sangat membantu kami pada ujian terakhir di Sepang.

“Secara keseluruhan kami mempunyai asas jentera yang terbaik dan itu adalah perkara yang utama bagi saya mendapatkan keserasian bersama jentera ini. Saya harap pasukan dapat menemui pelarasan yang sempurna sebelum bermula perlumbaan sebenar di Qatar pada Mac nanti,” kata Petrucci.

Rakan sepasukan Petrucci, Andrea Dovizioso menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan catatan 1:58.538s.

Sementara itu, ketua pengarah Ducati, Paolo Ciabatti menegaskan bahawa Petrucci sedang bekerja keras untuk membuktikan bahawa dia layak untuk bersama pasukan pengeluar.

“Kami mahu dia berada di kedudukan kelima terbaik musim ini dan meraih sebanyak mungkin podium. Saya yakin dia mampu melakukannya kerana musim lalu prestasinya agak baik dan ini adalah masanya buatnya untuk memburu kejayaan bersama Ducati,” ujar Ciabatti. – Agensi