Rekod pertemuan nyata tidak begitu memihak kepada pasukan negara apabila hanya menang sebanyak tiga kali dalam 13 pertemuan menentang Thailand pada kempen yang sama sejak 1996 berbanding tujuh kemenangan diraih oleh skuad Gajah Perang itu serta tiga keputusan seri.

Bagaimanapun, skuad negara masih ada sesuatu yang perlu dipertahankan apabila mereka tidak pernah merekodkan sebarang kekalahan sepanjang 21 pertemuan menentang Thailand di bumi Malaysia sejak aksi Sukan Asia Tenggara 1971 dengan mencatat 13 kemenangan dan selebihnya keputusan seri.

Biarpun catatan itu seakan memberi kelebihan kepada Malaysia, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu para pemainnya dibuai dengan rekod tersebut sebaliknya menuntut mereka untuk mempamerkan aksi terbaik serta waspada dengan ancaman skuad yang dibimbing oleh Milovan Rajevac.

“Rekod hanyalah sekadar rekod biarpun kita telah mencatatkan keputusan yang positif ketika berdepan Thailand apabila beraksi di laman sendiri.

“Apa pun yang paling penting buat pasukan ketika ini adalah untuk mencari kemenangan sementara mengelakkan sebarang gol daripada pihak lawan supaya kami dapat membawa bekalan yang selesa untuk berdepan Thailand di Bangkok selepas ini,” katanya semalam.

Sementara itu, Cheng Hoe mengharapkan para pemainnya memberikan sepenuh komitmen dan meletakkan kepercayaan penuh terhadap kemampuan dan corak permainan yang digunakan oleh pasukan biarpun sedar Thailand memiliki pemain yang 
berkualiti.