Skuad kendalian Jurgen Klopp itu terpaksa berehat hampir tiga minggu sebelum mengharungi aksi final berkenaan yang akan berlangsung di Madrid, Sepanyol selepas saingan Liga Perdana England (EPL) sudah tamat secara rasmi minggu lalu.

Susulan itu, Klopp berusaha untuk mengaturkan beberapa siri perlawanan persahabatan dan telah menghantar permohonan rasmi kepada AZ Alkmaar sebelum ditolak dengan alasan tidak mempunyai pemain yang mencukupi.

Ini kerana kelab Belanda itu mendakwa beberapa pemain skuad utama mereka telah dipanggil menyertai sesi latihan kem negara masing-masing selain ada dalam kalangan mereka sudah pulang bercuti ke kampung halaman.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tetap tidak akan menjejaskan perancangan Klopp yang bakal membawa anak-anak buahnya menjalani sesi latihan pusat di Marbella, Sepanyol pada minggu depan.

Pertahanan Liverpool, Joe Gomez mengakui, apa sahaja perancangan dibuat oleh pengurusnya itu wajar dihormati.

Ini kerana menurutnya, apa yang penting barisan pemain terus fokus pada aksi pertemuan dengan Tottenham Hotspur bagi mengelak kekecewaan ketika tewas pada final tahun lalu berulang.

“Kami tidak bernasib baik pada tahun lalu apabila tewas di final di tangan Real Madrid. Situasi kini berbeza dan saya percaya barisan pemain kini memiliki motivasi terbaik dalam menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara buat Liverpool,” katanya. – Agensi.