Sebagai rekod, skuad badminton kebangsaan diletakkan dalam Kumpulan C dan dijadualkan bertemu dengan pasukan meningkat naik, Thailand sebelum membuat perhitungan dengan Myanmar dan Taiwan.

Difahamkan, pemain No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei bakal memikul tanggungjawab selaku perseorangan pertama, manakala pemain muda, Lee Zii Jia berada di kedudukan kedua, diikuti Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Bagaimanapun, Misbun enggan mengesahkan barisan perseora­ngan utama itu dan hanya akan menentukan pada saat akhir ke­rana seorang lagi pemain, Soong Joo Ven turut berpeluang untuk diturunkan nanti.

“Saya tidak boleh sahkan lagi pemain mana yang akan diturun­kan pada aksi pertama menentang Thailand tetapi berdasarkan apa yang saya lihat, semua berada pada tahap terbaik.

“Secara peribadi, saya anggap ketiga-tiga pemain perseora­ngan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan pasukan khususnya menentang Thailand yang peluangnya saya anggap sebagai 50-50,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurulatih berusia 58 tahun itu turut gembira dengan prestasi yang dipamerkan Iskandar selepas menampilkan aksi cemerlang pada saingan Terbuka India minggu lalu.

“Saya lihat prestasi Iskandar semakin memberangsangkan dan sangat berharap agar momentum itu dapat diteruskan untuk membantu pasukan melangkah ke pe­ringkat separuh akhir.

“Walaupun dia mempunyai potensi dan bakat yang sangat bagus, dia masih perlu bekerja keras pada sesi latihan untuk mengekalkan rentak konsisten,” katanya.