Justeru, Amizal mendedahkan PFA serius mahu memanfaatkan peluang itu dengan segera menyelesaikan masalah-masalah berbangkit antaranya tunggakan gaji bekas pemain-pemain Perlis.

Jelasnya, syarat MFL yang mahu menyekat geran tahunan PFA sehingga menyelesaikan semua masalah persatuan tersebut tidak mematahkan semangat Perlis memberikan persembahan positif selepas 10 musim ‘menghilang’ dari liga utama negara.

“Pertama, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana bagi peluang kepada Perlis untuk bermain di Liga Premier.

“Selepas kongres, kita telah berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain lama.

“Jadi apabila MFL menahan geran tahunan Perlis tidak membuatkan kami rasa kurang senang yang mana kami sebenarnya dalam proses menyelesaikan masalah itu.

“Jadi apabila MFL meletakkan syarat menahan geran tahunan (sehingga menyelesaikan tunggakan gaji) kita tidak mahu mengalah dan lari daripada masalah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amizal mendedahkan pasukannya tidak akan sesekali tertekan biarpun penyertaan Perlis ke Liga Premier seakan-akan tidak direstui oleh segelintir pihak.

“Kita baharu melakukan proses transformasi dan boleh dianggap sebagai pasukan baharu. Jadi, keseluruhan pemain juga dianggap sebagai pemain baharu.

“Misi kami seterusnya adalah mahu layak ke Liga Super musim depan. Tiada tekanan sebab bagi saya Perlis adalah satu pasukan yang baharu bermula. 

“Jadi, kita menghormati kesemua pesaing-pesaing kita dalam Liga Premier dan kita bermula daripada kosong tetapi Perlis juga sedia buktikan bahawa kita memang layak untuk bermain di Liga Premier,” katanya. - K! ONLINE