Perlis yang disingkirkan daripada Liga Perdana, Piala FA, Piala Presiden dan Piala Belia musim ini kerana masalah tunggakan gaji pemain, akan menjadi venue bersama jiran utara Semenanjung, Kedah dalam PERR 2019, September ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd. Frdaus Mohamed menjelaskan venue 2019 mampu memberikan penawar buat peminat Perlis yang kini tidak dapat menyaksikan aksi pasukan negeri dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

“kami juga memilih Perlis dan Kedah kerana mahu memberi peluang kepada negeri-negeri ahli gabungan lain sebagai tuan rumah baharu selepas PERR tahun lalu berlangsung di Lembah Klang.

“Inilah kesempatan terbaik Perlis mengubati kerinduan para peminat bola sepaknya selepas tidak dapat menyaksikan aksi pasukan negeri dalam Liga M musim ini,” katanya selepas mesyuarat agung khas PBMM di Akademi Bola Sepak Merah Kuning di Puncak Alam, Selangor.

Jelasnya, Perlis diakui mempunyai himpunan peminat bola sepak yang besar dengan venue utamanya, Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pernah dihadiri hampir 20,000 orang ketika perlawanan akhir PERR pada 2015.

“Perlis hampir muncul menjulang PERR tiga kali berturut-turut jika tidak tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan ketika itu namun sambutan peminatnya cukup hangat dan PBBM ingin mengembalikan nostalgia kemeriahan pertandingan ini seperti itu.

“Malah angka kehadiran hampir sama pernah tercatat di stadium itu biarpun hanya pada perlawanan persahabatan Perlis sebelum Liga Malaysia musim ini,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mengulas berkenaan tarikh PERR, PBBM akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pertandingannya untuk memutuskan namun kemungkinan berlangsung pada awal September dengan perlawanan pembuka tirai musim, Piala Agong dijangka akhir Ogos.

Pahang yang muncul juara berganda, akan kembali menghadapi Terengganu yang ditewaskannya 1-0 di Temerloh dalam perlawanan akhir PERR, Oktober lalu, bagi mempertahankan Piala Agong yang diperkenalkan pada 1962.

PERR yang diperkenalkan pada 1922 dan hampir sebaya Piala Malaya (kini Piala Malaysia mulai 1967), berformat liga berkumpulan dan kalah singkir (knockout) termasuk disertai semua negeri Semenanjung, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan beberapa pasukan jemputan antaranya Singapura. - K! ONLINE