Kebimbangan mula melanda peminat-peminat sukan tanah air mengenai siapakah yang bakal mengisi kekosongan di­tinggalkan Chong Wei apabila dia mengambil keputusan me­ngundurkan diri daripada sukan tersebut.

Walaupun masih mampu menumbangkan pemain-pemain yang jauh lebih muda, namun bekas pemain No. 1 dunia itu tidak mungkin akan meneruskan kariernya bagi tempoh empat tahun lagi.

Justeru, sudah tiba masanya tugas yang digalas Chong Wei sejak sekian lama itu diambil alih pemain-pemain baharu, sekali gus mengembalikan ke­gemilangan yang pernah dikecapi skuad perseorangan lelaki sebelum ini.

Dua pemain yang mula mendapat perhatian peminat sukan tanah air, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao diakui oleh Chong Wei memiliki potensi serta bakat untuk mengambil alih tempat yang bakal ditinggalkannya.

Bagaimanapun Chong Wei menegaskan, jika sekadar bersandarkan bakat semata-mata tanpa disusuli usaha keras, mereka tidak mungkin mampu menembusi kelompok 10 pemain terbaik dunia.

“Sebelum ke Piala Thomas sebelum ini, kita ada dengar ramai yang bercakap mengenai Zii Jia dan Jun Hao. Saya akui mereka adalah pemain masa depan negara dan akan ambil alih tempat saya suatu hari nanti.

“Mereka ada teknik dan bakat tetapi untuk menjadi seorang pemain yang berjaya, mereka perlu rajin serta bekerja keras. Mungkin dalam tempoh tiga tahun lagi mereka akan bangkit sebagai pemain lebih matang,” kata Chong Wei.

Jika dilihat pada pencapai­an dua pemain muda tersebut, mereka memiliki masa depan yang cukup cerah sekiranya diberikan pendedahan sebenar memandangkan Zii Jia adalah pemenang pingat gangsa kejohanan remaja dunia 2016, manakala Jun Hao merupakan juara remaja Asia 2017.

Dalam pada itu, Chong Wei berpesan bahawa pemain No. 1­ dunia dari Denmark, Viktor ­Axelsen, bintang Jepun, Kento Momota serta pemain Indonesia, Jonathan Cristie bakal menjadi musuh utama mereka dalam setiap kejohanan nanti.

Tambah pemenang tiga pi­ngat perak Sukan Olimpik itu lagi, Zii Jia dan Jun Hao perlu menewaskan beberapa pemain terbaik dunia sekiranya mereka mahu menembusi serta berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia.

“Sebagai pemain senior, saya ada berpesan bahawa Momota, Axelsen dan Jonathan bakal menjadi seteru utama mereka nanti, jadi perlu belajar daripada sekarang bagaimana untuk tewaskan pemain-pemain tersebut.

“Sekiranya mahu menjadi seorang juara, anda perlu bertemu dan tewaskan pemain-pemain yang berada di atas. Jika tidak, sukar bagi mereka untuk tembusi kelompok 10 terbaik dunia,” tambah Chong Wei.

Pada masa sama, dia percaya pengalaman diraih Zii Jia dan Jun Hao pada saingan Piala Thomas 2018 di Bangkok bulan lalu mampu menjadikan mereka pemain yang lebih matang serta menghargai semangat berpasukan.

“Saya ada cakap de­ngan Jun Hao bahawa kita tidak bawa dia ke Piala Tho­mas ha­nya untuk jadi rakan sepelatih tetapi dia perlu manfaatkannya dari segi pe­ngalaman.

“Kita mahu dia rasai sendiri suasana sebenar Piala Thomas kerana ia akan membantu pemain-pemain muda pada masa depan,” ujarnya.