Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie memberitahu, pihaknya menyenaraikan Cheng Hoe sebagai calon terbaik untuk mengisi jawatan tertinggi tersebut menjelang saingan Liga Premier musim depan.

Ahmad Amizal menjelaskan, langkah PFA untuk melantik jurulatih berusia 51 tahun itu disebabkan kontrak bekas pengendali skuad Helang Merah tersebut bersama pasukan kebangsaan berakhir 31 Disember tahun lalu.

“Kami cuba untuk mendapatkannya selepas mendapat tahu beliau kini dalam status ejen bebas meskipun kemungkinan besar Cheng Hoe akan menyambung kontrak bersama skuad kebangsaan.

“Dapat atau tidak itu belakang kira, apa yang penting kita cuba terlebih dahulu kerana bakat Cheng Hoe sememangnya tidak boleh dinafikan oleh semua pihak.

“Beliau mempunyai rekod sa­ngat bagus dalam kancah bola sepak negara dan kami mahukan supaya tunjuk ajarnya dapat meresap kepada pemain skuad utama dan peringkat akar umbi.

“PFA berusaha keras mengatur pertemuan dengan Cheng Hoe dan berharap perbincangan mengenai tawaran kami kepadanya dapat dilakukan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sedang melakukan rundingan dengan Cheng Hoe untuk mengekalkan beliau selaku ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya.

Jika tidak berdepan sebarang masalah, kontrak lanjutan Cheng Hoe akan di­umumkan Rabu depan.

Ini kerana, badan induk bola sepak negara sedang melakukan perbincangan de­ngan Cheng Hoe berhubung peranca­ngan beliau terhadap skuad kebangsaan selain membincangkan tempoh kontrak yang bakal ditawarkan oleh FAM nanti.