Neymar kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou sebelum ini tetapi sehingga jendela perpindahan ditutup pada 2 September lalu, ia tidak menjadi kenyataan.

Pengarah Sukan PSG, Leonardo sebelum ini mengesahkan bahawa pemainnya itu mahu meninggalkan kelab berkenaan dan dibenarkan berbuat demikian sekiranya pasukan itu menerima tawaran yang bersesuaian.

Bagaimanapun, Barcelona yang terdesak untuk mendapatkan Neymar gagal tampil dengan tawaran yang memuaskan hati selain tawaran Real Madrid juga tidak menarik minat gergasi Perancis itu.

Dalam pada itu, Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu mengesahkan bahawa juara La Liga itu tidak akan membuat tawaran baharu untuk mendapatkan Neymar pada jendela perpindahan Januari ini.

“Perbincangan kedua-dua kelab untuk mendapatkan Neymar masih belum berakhir.

“Dia (Neymar) mahu menyertai kelab di mana dia berasa gembira dan pilihannya ialah Barcelona.

“Apabila rakan-rakannya bertanya mengenai adakah dia mahu pulang ke Barcelona, ia sentiasa membuatkannya sedih,” kata Neymar Sr. yang juga bapa kepada bintang Brazil itu.

Barcelona sebelum ini mengemukakan tawaran wang tunai bersama beberapa pilihan pemain seperti Ousmane Dembele dan Ivan Rakitic untuk menarik minat PSG melepaskan Neymar.

Laporan menyebut, Rakitic bersedia dengan tawaran berkenaan untuk berhijrah ke Paris tetapi Dembele sebaliknya kerana masih berminat untuk kekal di Barcelona.

“Ketiadaan klausa pelepasan dalam kontrak menyebabkan perpindahan ini menjadi sukar.

“Kami sedang berusaha untuk mencari kata sepakat dan cuba memberikan yang terbaik untuknya,” katanya yang juga ejen Neymar. – Agensi