Skuad Les Bleus mara ke pentas final setelah mengecewakan Belgium menerusi kemenangan tipis 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Saint Petersburg awal pagi semalam.

Pemain Barcelona, Samuel Umtiti muncul wira skuad bimbingan Didier Deschamps itu apabila meledak gol tunggal pada minit ke-51.

Kejayaan mara ke final merupakan peluang terbaik pasukan yang menghuni ranking ketujuh dunia itu untuk memadam episod hitam kejohanan Euro 2016 apabila tewas 0-1 kepada Portugal di pentas final dua tahun lalu.

“Saya berada di sana (final Euro 2016) bersama staf kejurulatihan dua tahun lalu. Ia cukup menyakitkan kerana kami benar-benar mahu merasai kejayaan ketika itu. Kemenangan malam ini (semalam) belum mampu memberikan kelegaan selepas Perancis tewas di pentas final Euro 2016.

“Inilah bola sepak dan keutamaan kami adalah untuk memberikan kegembiraan kepada seluruh rakyat Perancis (memenangi Piala Dunia 2018),” katanya.

Pada final edisi 1998, skuad Les Bleus yang diketuai Zinedine Zidane muncul juara Piala Dunia setelah menewaskan Brazil 3-0.