Antara nama yang sah bermain dengan pasukan Perak ialah Brendan Gan yang bermain dengan pasukan Kelantan pada musim 2016, Nor Hakim Hassan (T-Team), Muhammad Syazwan Zaipol Bahari (PKNP FC) dan Rafiuddin Roddin (Pulau Pinang).

Selain itu, pemain daripada skuad Presiden Perak, Muhamad Rizal Che Aziz dan Muhammad Nasrullah Abdul Aziz turut dipanggil selain dua pemain muda iaitu Muhammad Rafiq serta Khairul Asyraf Sahizah.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pasukan Perak juga mengekalkan 12 pemain tempatan Liga Super musim lalu dan dua pemain importnya iaitu Leandro Dos Santos Oliveira dan Gilmar Jose Da Silva Filho.

“Tiga lagi kuota pemain import bagi melengkapkan senarai 25 pemain pula akan diumumkan kemudian.

“Proses mengenalpasti dan menilai pemain tersebut sudah dilakukan, namun kita masih menghormati kontrak pemain itu dengan pasukan masing-masing yang tamat pada Disember ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - K! ONLINE