Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, meskipun mengakui ada peminat menganggap ia sebagai satu bahan jenaka, namun ia tidak mustahil untuk direalisasikan berdasarkan minat yang pernah diluahkan oleh Ronaldinho untuk beraksi di Malaysia.

Menurutnya, walaupun bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak lagi bermain sejak lapan bulan lalu, namun tarikan yang ada padanya mampu memeriahkan bola sepak negara.

“Saya kira selain tarikan beliau sebagai bekas pemain terbaik dunia, pengalaman yang dimilikinya juga mampu memeriahkan sukan bola sepak negara sete­rusnya menarik minat penggemar sukan itu hadir ke stadium.

“Saya sedang berusaha mencari ejen yang sesuai untuk berhubung dengan beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Konvoi Jalur Gemilang peringkat negeri di Padang Tanjung Rambutan, Perak semalam.

Hasnul Zulkarnain berkata, jika Ronal­dinho bersetuju untuk bermain bersama pasukan Perak, beliau tidak akan bermain sepenuh musim.

“Bagi aspek kewa­ngan pula, saya rasa tiada masalah kerana Ronaldinho berhasrat mahu bermain secara percuma.

“Bagaimanapun, kita akan sediakan beberapa fasiliti mengikut kemahuannya,” jelas Hasnul Zulkarnain.

April lalu, Ronaldinho secara terbuka meluahkan hasratnya untuk bermain pada Liga Malaysia tanpa sebarang bayaran selepas melihat keghairahan peminat bola sepak negara ini serta layanan baik diterimanya selepas dua kali berkunjung ke Kuala Lumpur.