Pasukan tuan rumah bagaimanapun tersentak dengan jaringan awal Sarawak apabila penyerangnya, Mateo Roskam menyepak masuk bola di hadapan gol menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim pada minit ketujuh. 

Bangkit daripada ketinggalan, pasukan The Bos Gaurus memperkemaskan rentak permainan dan melakukan asakan bertubi-tubi ke arah gol lawan. 

Usaha tersebut berhasil apabila Perak mendapat jaringan penyamaan selepas penyerangnya, Wander Luiz Bitencourt Junior mudah menyepak masuk sepakan penalti ke gawang Sarawak pada minit ke-15. 

Perak mendapat sepakan penalti selepas pemain lincahnya, Mohd. Nor Hakim Hassan dijatuhkan pemain pertahanan pasukan pelawat, Mohd. Sabre Mat Abu di dalam kotak penalti. 

Penghujung babak pertama, Perak mendahului permainan selepas penyerangnya, Gilmar Jose Da Silva Filho mudah menolak masuk bola ke gawang Sarawak selepas mendapat hantaran daripada rakan sepasukan pada minit ke-39. 

Permainan pada babak kedua sedikit hambar namun Perak berhasil mendapatkan jaringan ketiga berpunca daripada tandukan Gilmar selepas mendapat hantaran daripada Robert Richard Conthwaite pada minit ke-84. 

Keputusan 3-1 tersebut kekal sehingga tamat perlawanan. - K! ONLINE