Menurut Wing Hoong, status Perak selaku juara bertahan adalah penyebab mereka sering beraksi dalam tekanan yang mana bekas pemain pertahanan skuad The Bos Gaurus itu berharap pemainnya akan bangkit pada aksi kedua menentang Perlis di venue sama hari ini.

“Saya lihat pemain tidak beraksi di tahap sebenar berban­ding aksi persahabatan mereka sebelum ini. Mereka kelihatan gugup mungkin kerana beraksi di laman sendiri yang dipenuhi dengan para penyokong.

“Beraksi di bawah tekanan turut menjadi punca kami gagal mencapai kemenangan pertama. Pemain perlu lebih tenang untuk aksi selepas ini. Jika pemain beraksi di tahap sebenar saya yakin tiada masalah untuk kami mencari tiga mata berharga,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, Sarawak terlebih dahulu membuka tirai gol menerusi jaringan Amir Amri Salleh seawal minit keempat sebelum Muhamad Asyraaf Mat Pushni menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Mengulas lanjut mengenai aksi tersebut, jurulatih berusia 41 tahun itu berkata, gol awal yang diperoleh Sarawak menyebabkan anak-anak buahnya hilang rentak permainan selain gagal menyempurnakan penal­ti yang diberikan.

“Kesilapan pemain pertahanan ketika mengeluarkan bola telah menyebabkan Sarawak berjaya memperoleh gol seawal minit keempat. Kami diberikan penalti, namun gagal disempurnakan dengan baik,” katanya.

Selain beraksi sebagai juara bertahan, Perak juga merupakan pemenang pada edisi empat tahun lalu di Perlis.