Skuad Gergasi Merah tum­pas 1-4 kepada Terengganu FC I (TFC I) dan 1-3 kepada Pahang serta yang terbaharu 0-3 kepada Perak di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut kelmarin.

Haniff memberitahu, Maniam perlu bertanggungjawab atas kekalahan tersebut kerana gagal membawa pasukan untuk bangkit ketika kekalahan pertama mereka kepada TFC I dalam saingan Liga Super bulan lepas.

“Pihak pengurusan perlu menilai se­mula tugas yang dipikul oleh Maniam sama ada perlu direhatkan buat sementara waktu atau terus digugurkan dari pada pasukan.

“Langkah tersebut perlu diambil selepas penyokong mula kecewa dengan keputusan pasukan kesayangan mereka yang makin merudum kebelakangan ini.

“Kami merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena antara pemain dan jurulatih selepas melihat kekalahan itu dalam skala yang sangat besar bagi penyokong,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi saingan Liga Super Selangor hanya menang dua perlawanan se­lepas mencatatkan ke­putusan 2-0 ketika bertemu Kuala Lumpur dan menewaskan Melaka Uni­ted 4-1 masing-ma­sing di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Tambah Haniff, penyokong tidak mahu melihat sejarah musim lepas berulang apabila menyaksikan Selangor kalah lima kali berturut-turut.

“Kami tidak dapat menerima alasan bahawa salah satu punca kekalahan adalah kebanyakan pemain terdiri daripada pemain muda.

“Alasan tersebut tidak sesuai kerana sememangnya semua pasukan mempunyai ramai mu­ka baharu untuk saingan musim ini.

“Kita tidak mahu moral pemain hilang selepas kekalahan ini untuk berdepan saingan Piala FA apabila Selangor akan bertemu TFC I semula di tempat mereka.

“Pada masa sama, pihak pengurusan perlu mengambil tindakan segera supaya badi ini tidak berterusan melanda pasukan Gergasi Merah memandangkan perjalanan Liga M musim ini masih panjang,” ujarnya.

Maniam pernah mengendalikan skuad bawah 19 serta 21 tahun Selangor dan menjadi pembantu jurulatih skuad utama Gergasi Merah pada 2009 hingga 2015.

Beliau kembali menjadi ke­tua jurulatih pada musim lalu dan skuad Gergasi Merah sekadar menduduki tangga keenam Liga Super 2017.