Sumbangan hasil idea Pre­siden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal itu diserahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan disaksikan Timbalan Pre­siden MHC, George Koshy selepas aksi final Piala Sumbangsih di Kuala Terengganu kelmarin.

Fitri yang juga kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengakui, ia dapat mengubati kekecewaannya selepas kempunan menjuarai Piala Sumbangsih musim ini gara-gara tewas kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam perlawanan itu.

“Sangat bersyukur kerana MHC sudi membantu meringankan beban saya. Setakat ini saya sudah mengeluarkan duit sendiri lebih RM20,000 untuk segala kos rawatan Adam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! pada 23 November lalu melaporkan Fitri, 25, sanggup berkelana ke Oman selama sebulan demi mencari wang bagi membiayai perubatan Adam yang berusia dalam lingkungan enam bulan kerana masalah paru-paru.

Ia bukan kali pertama Fitri berkorban kerana sebelum ini dia sanggup ‘berulang alik’ demi Adam dan Malaysia sewaktu saingan Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh yang menyaksikan skuad kebangsaan muncul naib juara kejohanan itu.

Arkitek tengah skuad negara itu mendedahkan Adam, abang kembar kepada Muhammad Yusuf Zafran, sudah dibenarkan keluar daripada hospital kelmarin selepas menerima rawatan selamat empat bulan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Serdang.

Sementara itu, Subahan menyifatkan pengorbanan Fitri dan abangnya yang juga penye­rang negara, Faizal termasuk keluarga­nya terlalu besar buat Malaysia.

“Ini sumbangan dan bantuan daripada MHC serta semua rakan sepasukan Fitri dalam skuad kebangsaan untuk membantu meringankan kos rawatan perubatan anaknya.

“Kami akan ikhtiar untuk membantu lagi sekiranya keada­an memerlukan. Pengorbanan Fitri dan keluarga Saari Zakaria buat negara terlalu besar untuk dinilai dengan wang ringgit,” jelasnya.