Bagaimanapun, Pe­ngarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menjelaskan, masih ada beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki pemain-pemain negara berdasarkan prestasi semasa mereka pada kejohanan dwitahunan itu.

Bekas perseorangan lelaki No. 1 dunia itu me­ngakui, walaupun pencapai­an skuad muda tersebut boleh dibanggakan, namun dia dapat mengesan dua kelemahan yang ada dalam diri setiap pemain muda negara iaitu dalam aspek kecergasan serta mental.

“Secara keseluruhan, saya boleh katakan tetap berpuas hati dengan ­prestasi semua pemain pada kejohanan tersebut memandang­kan kita hanya menghantar skuad muda yang kurang berpe­ngalaman dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Sudirman.

“Bagaimanapun, semua pemain harus belajar daripada kesilapan yang dilakukan pada kejohanan itu. Saya mahu mereka cuba baiki mana-mana kelemahan yang masih ada dalam permainan mereka, jadi mereka perlu bekerja lebih keras ketika sesi latihan,” kata Choong Hann.

Choong Han yang juga naib juara perseorangan dunia 2003 mengakui kecergasan fizikal serta kekuatan mental merupakan elemen yang sa­ngat penting dalam sukan raket itu, lebih-lebih lagi ketika berada dalam situasi gen­ting sama seperti yang dialami beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin semasa tewas kepada pasa­ngan Jepun di suku akhir.

Justeru, Choong Hann menggesa semua pemain agar mengikut arahan jurulatih serta memberi sepenuh komitmen ketika latihan selain memasukkan elemen suasana kejohanan dalam latihan, sekali gus mampu membantu pemain beraksi lebih baik.

“Faktor pertama yang mempe­ngaruhi permai­nan adalah kecergasan fizikal, tetapi ia mudah diatasi sekiranya pemain kekal merendah diri dan bekerja keras dalam latihan. Sementara itu, kekuatan mental pula amat diperlukan bagi membantu pemain lebih tenang jika berada dalam situasi sukar.

“Bagi memperkuatkan mental, setiap pemain perlu beri lebih komitmen dalam latihan dan tidak boleh berlatih sambil lewa. Kita juga akan cuba membawa masuk elemen kejohanan dalam sistem latihan kerana ia akan membantu pemain menyesuaikan diri dengan kejohanan sebenar,” ujarnya.