Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Wuhan, China itu, pemain berusia 36 tahun tersebut terpaksa akur dengan kekalahan 19-21, 14-21 pada perlawanan hampir sejam biarpun dilihat hampir memenangi set pertama.

Chong Wei mengakui kekalahan tersebut membolehkan dia mempelajari sesuatu yang penting sebagai langkah untuknya bersaing pada peringkat tertinggi, lebih-lebih lagi berdepan cabaran pemain muda.

“Seperti biasa, menang atau kalah itu adalah adat permainan. Saya akui dia (Momota) bermain lebih baik pada perlawanan tersebut dan bukan mudah untuk saya menentang pemain muda seperti­nya.

“Walaupun tewas tetapi sebenarnya ia sesuatu yang positif kerana saya anggapnya sebagai cabaran supaya lebih fokus bagi membolehkan saya terus bersaing pada peringkat tertinggi dalam sukan ini,” kata Chong Wei.

Pada masa sama, pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, aksi tersebut merupakan pertemuan pertama mereka selepas kali terakhir membuat perhitungan pada kejohanan All England 2014 yang menyaksikan Chong Wei muncul sebagai juara.

Sebelum ini, Momota yang pernah menjadi pemain No. 2 dunia digantung oleh Persatuan Badminton Jepun selama setahun gara-gara terlibat dengan perjudian haram.

“Kami hanya bertemu sekali sahaja sebelum ini iaitu pada All England 2014, jadi ini adalah pertemuan pertama selepas empat tahun. Menerusi kekalahan ini, saya tahu apa perlu dilakukan sekiranya bertemu Momota pada kejohanan akan datang,” tambahnya.

Justeru, bekas pemain No. 1 dunia itu akan memberikan fokus 100 peratus terhadap persediaan skuad badminton negara menjelang pusingan akhir Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 20 hingga 27 Mei depan.

Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan menegaskan, anak buahnya itu sudah menampilkan aksi terbaik sepanjang kejohanan tersebut biarpun gagal melangkah ke pentas final.

“Sebenarnya aksi dia sudah cukup bagus, lebih-lebih lagi tempoh persiapan singkat selepas Sukan Komanwel. Sasaran untuk Chong Wei adalah kekal dalam kelompok lapan terbaik menjelang kejohanan dunia nanti,” ujar Hendrawan.