Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu tewas straight set 13-21, 20-22 dalam tempoh 43 minit di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta.

Sebaik tewas mudah pada set pertama, Peng Soon-Liu Ying cuba bangkit pada set kedua dan mampu mendahului perlawanan.

Bagaimanapun, corak perlawanan laju dan agresif ditampilkan oleh pasangan China membuatkan mereka hilang punca untuk mengheret aksi tersebut ke set penentuan.

Pencapaian sehingga ke pusingan separuh akhir itu wajar diberi pujian memandangkan mereka berjaya menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow pada pusingan suku akhir kelmarin.

Sebelum itu, Peng Soon-Liu Ying berjaya menumpaskan wakil Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae pada pusingan kedua kejohanan.

Tiket ke pusingan separuh akhir itu sekurang-kurang­nya dapat membantu pasa­ngan tersebut mengukuhkan kedudukan untuk pemburuan tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Pada tahun ini, pasangan yang menghuni kedudukan kelima dunia itu sudah merangkul dua gelaran iaitu Thailand Masters serta Terbuka New Zealand.

Bekas pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia itu bagaimanapun berpeluang menebus kekecewaan apabila dijadualkan mengambil bahagian­ pada kejohanan badminton Terbuka Jepun dan Thailand bulan ini selain turut dijadual­kan beraksi pada Kejuaraan Badminton Dunia Ogos nanti.