Ratu poomsae negara tersebut mempamerkan aksi cemerlang seawal pusingan pertama apabila berjaya menundukkan wakil Qatar dan China sebelum mara ke pentas separuh akhir.

Bagaimanapun, impiannya untuk ke pentas final tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil Iran, Salahshouri Marjan dengan perbezaan 0.13 mata apabila lawannya itu mengutip 8.43 mata.

Khim Wen mengakui kecederaan pada dua belah kakinya awal tahun ini menjejaskan rentak dan pergerakannya, sekali gus terpaksa berpuas hati meraih pingat gangsa pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia 2018.

“Saya cuba lakukan yang terbaik untuk memberi tentangan hebat kepada pihak lawan tetapi kecederaan pada lutut kiri dan buku lali kanan sedikit menjejaskan pergerakan saya.

“Saya tidak memikirkan soal kesakitan dan terus berusaha sebaik mungkin untuk menjelmakan pingat buat negara. Secara ke­seluruhan, saya berpuas hati dengan kejayaan ini kerana acara poomsae pertama kali dipertandingkan pada Sukan Asia,” katanya semalam.

Atlet berusia 24 tahun tersebut mengakui pengorbanannya dengan menangguhkan pengajian ijazah dalam jurusan psikologi sejak Mei lalu berbaloi.

“Saya rasakan pengorbanan saya selama ini berbaloi dan selepas ini saya akan meneruskan pembelajaran saya semula. Bagaimanapun, saya perlu berehat sementara waktu untuk menjalani rawatan susulan kecederaan ini,” tambahnya.