Mereka tidak berdepan tentangan sengit dalam perlumbaan akhir kelas CP115 pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia untuk merekodkan penamat satu dua.

Adib Rosley menamatkan 15 pusingan perlumbaan itu di tempat pertama dengan catatan masa 13:08.314 saat (s) manakala rakannya, Md Fareez Afeez Abd. Rahman di tempat kedua dengan masa 13:08.442s.

Pada perlumbaan tersebut, Adib bermula di petak hadapan selepas melakukan catatan terpantas pada pusingan shoot out pada sebelah pagi tadi, iaitu 51.596 saat (s).

Kelebihan itu dipergunakan sepenuhnya oleh Adib untuk memimpin perlumbaan tanpa berdepan tentangan sengit daripada barisan pencabarnya.

Fareez pula kekal tenang mengekori di belakang  walaupun mencuba beberapa kali untuk memintas Adib, namun tidak diberikan ruang untuk berbuat demikian.

Apabila perlumbaan memasuki lap ke sembilan, beberapa pelumba yang cuba mengejar kedudukan dua jaguh pasukan Motul Yamaha YY Pang itu terjatuh, dan insiden tersebut telah memberi ruang kepada Adib dan Fareez untuk mendahului dengan selesa sehingga ke garis penamat.

Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy berada di tempat ketiga dengan masa 13:15.174s.

Bagi Adib, kemenangannya pada saingan Pusingan 5 ini menebus kekecewaannya selepas gagal meraih sebarang mata pada aksi di Pontian bulan lalu.

“Saya bersyukur kerana kembali menjejak kaki di podium kemenangan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kru pasukan yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi perlumbaan ini. Semuanya berjalan dengan baik,” jelas Adib.
 
Selepas berkahirnya perlumbaan tersbeut, Adib kini menghuni tempat ketiga dalam carta keseluruhan dengan meraih 66 mata manakala Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) mengekalkan kedudukannya selaku pendahulu dengan 84 mata.
 
Bagi kategori pasukan pula, pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing masih mengungguli kedudukan dengan 135 mata.
 
Sementara itu, pengurus pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing, Sivanesan kagum dengan pencapaian anak buahnya, Md Aliff Danial Asri yang menjuarai perlumbaan kelas Wira hari ini.
 
Menurut Sivanesan, dia memang sudah menjangka pelumbanya itu mampu memenangi perlumbaan tersebut berdasarkan prestasinya ketika mengharungi sesi latihan bebas dan kelayakan semalam.
 
“Dia telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sepanjang musim ini. Ini merupakan gelaran juara kedua buat Aliff selepas melakukannya di Batu Kawan pada Pusingan 2 sebelum ini.
 
“Dia adalah pelumba rookie dan telah membuktikan rentak konsisten musim ini. Pada saingan di Pontian sebelum ini, Aliff menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan kini dia kembali menakluk takhta kelas Wira di Kuala Terengganu,” jelas Sivanesan.
 
Pada perlumbaan tersebut, Aliff yang berasal dari Johor, menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 10:42.109s.
 
Dua pelumba pasukan Super KIP Motorsports, Afizad Supaat dan Amier Rossi Amidi turut tampil cemerlang selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
 
Afizad muncul naib juara dengan catatan masa 10:42.266s manakala Amier yang menduduki tempat ketiga menamatkan perlumbaan dengan 10:52.243s.
 
Kedudukan keseluruhan bagi kelas Wira kini diunguli Md Zaki Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) yang sudah mengumpul 85 mata. - K! ONLINE