Menurut Afendi yang juga pengasas kelab berbasikal Geng LeTua Tapah (GLT), adalah satu kerugian sekiranya pasukan yang sudah mempu­nyai pengaruh dan pengikut itu hilang dalam peta saingan domestik dan antarabangsa.

“Sukan berbasikal sudah diberi perhatian yang mendalam oleh kerajaan dan pihak swasta. Sekarang ini kita dapat lihat banyak bakat baharu dilahirkan di seluruh negara.

“Malaysia mempunyai dua pasukan benua (Terengganu Cycling Team dan Team Sapura Cycling) yang sudah berjaya menempa nama di pentas antarabangsa. Malah, kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh pasukan berkenaan telah menarik minat peminat sukan berbasikal untuk mengikuti perkembangan mereka pada setiap perlumbaan.

“Bagi saya, skuad LeTua yang pernah bertapak di negara ini wajar diberi peluang untuk dihidupkan semula ke­rana pasukan tersebut sudah ada pengaruh dan peminat tersendiri. Malah, mungkin ia akan membuka peluang kepada pelumba-pelumba muda untuk dikete­ngahkan.

“Ketika ini sudah ada syarikat-syarikat swasta yang menaja skuad berbasikal trek dan saya berharap akan ada pihak yang sanggup untuk menaja pasukan LeTua supaya ia dapat diwujudkan kembali.

“Ia bukan sahaja akan merancakkan saingan berbasikal negara, malah cukup bagus untuk pembangunan sukan berbasikal lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini. Sebagai rekod, LeTua merupakan skuad berbasikal benua terawal yang pernah ditubuhkan di Malaysia iaitu bermula pada 2007 hingga 2011.

Kali terakhir pasukan ber­kenaan membuat kemunculan adalah pada perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Sepanjang tempoh tersebut, ramai bakat baharu dalam kalangan pelumba ­tempatan berjaya dicungkil ­antaranya pakar pecut negara, ­Anuar Manan yang mula mendapat perhatian selepas membantu LeTua muncul juara keseluruhan Jelajah Malaysia 2008.

Sementara itu, Afendi menjelaskan, bagi memperingati sejarah pasukan LeTua, dia bersama lima pelumba lain telah melakukan kayuhan santai bermula dari Tapah, Perak hingga Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sejauh 150 kilo­meter pada Isnin lalu.

“LeTua banyak memberi inspirasi kepada kelab serta peminat sukan berbasikal ketika itu. Jadi tidak hairanlah sehingga kini masih ramai penggemar sukan berbasikal yang mengingati dan ingin mengetahui perkembangan LeTua.

“Saya bersama beberapa lagi peminat skuad LeTua telah melakukan kayuhan santai dengan mengenakan jersi LeTua bagi memperingati sejarah pasukan yang pernah menambat hati peminat sukan berbasikal negara,” katanya.