EHL merupakan salah satu liga hoki paling mencuri tumpuan di Eropah, sama popular seperti Liga Juara-Juara buat sukan bola sepak yang menjadi kegilaan dunia termasuk para pemain dan seluruh peminat.

Peluang keemasan itu tidak seharusnya disia-siakan Shazril dan Rashid yang mendapat tawaran menyarung jersi Ra­cing Club de France (RCF) untuk beraksi selama tiga bulan dalam saingan Liga Hoki Perancis dan EHL.

Shazril, 25, yang bermain bersama pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada kempen Liga Hoki Malaysia 2018 mempunyai sesuatu yang mahu dibuktikannya dan berharap peluang tersebut dapat menjadi titik permulaan kepada lebih ramai pemain negara beraksi pada EHL.

“Saya menerima tawaran RCF kerana satu faktor iaitu mereka bermain pada EHL. Semua peminat hoki tahu bahawa pemain-pemain terbaik dunia bermain di sana, jadi ia secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap permai­nan saya.

“Setahu saya, belum ada lagi mana-mana pemain hoki negara beraksi pada EHL. Ini kali kedua saya bermain dengan kelab di Eropah tetapi yang pertama untuk EHL. Saya harap kami dapat menampilkan aksi terbaik agar mereka berminat untuk memanggil kami lagi.

“Jika kami dapat meninggalkan impak positif pada saingan EHL, tidak mustahil kelab-kelab Eropah lain berminat dengan pemain dari Malaysia sekali gus membuka jalan kepada lebih ramai lagi wakil kita bermain di sana,” katanya.

Shazril dan Rashid, 25, akan mendapat peluang bermain bersama empat tonggak RCF yang membantu Perancis layak ke Piala Dunia 2018 iaitu Corentin Saunier, Christopher Peters-Deutz, Jean-Laurent Kieffer dan Simon Martin-Brisac.

Sebagai rekod, RCF adalah juara bertahan Liga Hoki Perancis dengan pencapaian terbaik pada kempen EHL adalah mara ke suku akhir bagi musim 2016/2017 dan ini merupakan penyertaan kali keempat buat mereka pada saingan tersebut.

Shazril yang merupakan pemain pertahanan manakala Rashid pula bekas penyerang skuad kebangsaan akan terbang ke Perancis Selasa ini sebelum dijadualkan bertemu kelab Jerman, Uhlenhorst Mulheim pada pusingan 16 terbaik EHL, 31 Mac ini.