Sebagai pasukan underdog, barisan negara tidak perlu menggunakan taktik serangan terhadap Denmark yang kini berada di tahap keyakinan tinggi setelah tampil sebagai juara bertahan.

Sebaliknya, Misbun menekankan supaya skuad kebangsaan terus mencabar ego Denmark yang tentunya berada di bawah tekanan tinggi untuk mempertahankan gelaran mereka.

“Saya tak boleh dedahkan perancangan secara terperinci namun saya berharap pemain yang terpilih perlu mengekalkan ketahanan fizikal, mental dan emosi sepanjang perlawanan.

“Denmark merupakan juara bertahan, ego mereka untuk menang sangat tinggi. Jadi kita tak perlu gunakan taktik sera­ngan untuk meraih mata.

“Kita cuba cabar mereka dan ambil kesempatan untuk curi mata dan manfaatkan peluang setiap kali mereka lakukan kesilapan,” katanya.

Selain itu, Misbun turut mengakui kehadiran pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen mampu menggugat hasrat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menyumbangkan mata pertama.

Sehubungan itu, Misbun berharap kesemua pemain sama-sama bertanggungjawab terhadap permainan masing-masing dan peka peranan mereka dalam usaha mengumpul mata.

“Saya harap semua tahu bahawa ini adalah kerjasama dan bukannya hanya bergantung pada seorang.

“Justeru saya tak kisah sama ada pemain perseorangan atau beregu yang sumbangan mata. Pada saya paling penting adalah hasil kemenangan,” kata­nya.