Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia terbukti apabila pencapaian pemain kebangsaan tahun ini disifatkan lebih baik berban­ding musim lepas malah skuad badminton tidak lagi terlalu bergantung kepada pemain senior.

Beliau berkata, situasi itu merupakan perkembangan positif buat sukan badminton tanah air, lebih-lebih lagi BAM cuba menampilkan lebih ramai muka baharu bagi merebut tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Semasa memegang jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), saya pernah melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat Olimpik dan kita memenangi tiga pingat perak pada Sukan Olimpik 2016.

“Menjelang Sukan Olimpik akan datang, kita tidak seharusnya bergantung kepada pemain-pemain lama. Justeru, kita akan cuba siapkan sebuah pasukan dibarisi pemain muda bagi menghadapi Piala Tho­mas dan kejohanan utama yang lain,” katanya selepas final Liga Badminton Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM di Stadium Juara Bukit Kiara semalam.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Berhad, Datuk Kamarudin Meranun.

Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (perseorangan wanita) serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) menunjukkan aksi cukup memberangsangkan pada sai­ngan musim ini, sekali gus dianggap memiliki masa depan yang cerah.

Lebih manis, Zii Jia turut menamatkan kemarau kejuaraan pada saingan di pentas senior apabila menjuarai kejohanan Terbuka Taiwan, manakala Jin Wei melakar sejarah merangkul pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 selain muncul juara remaja dunia buat kali kedua.

Sementara itu, pada aksi final Liga Badminton Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM, Sela­ngor mempertahankan kejuara­an dalam kategori lelaki dan wanita apabila masing-masing menewaskan Pulau Pinang 3-2 dan 3-1 semalam.