Beliau menegaskan kemenangan tipis 3-2 ke atas musuh tradisi, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno merupakan satu permulaan positif sebelum melayan kunjungan salah sebuah gergasi Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu mendedahkan, beliau perlu menggunakan pendekatan berbeza apabila menentang pasukan ranking ke-65 dunia itu yang dibarisi beberapa pemain terbaik seperti dua pemain kelab Al Jazira iaitu Omar Abdul Rahman dan Ali Mabkhout.

"Pasukan UAE mempunyai pemain yang baik di setiap posisi, jadi kita harus memberi fokus sepenuhnya dan berhati-hati pada babak awal permainan menentang mereka nanti," katanya ketika ditemui pemberita setibanya dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

UAE hadir ke Kuala Lumpur dengan reputasi cemerlang selepas merekodkan dua kemenangan pada aksi pemanas badan di Bahrain, iaitu membenam Republik Dominica, 4-0, selain mengatasi Sri Lanka dengan keputusan 5-1.

Untuk rekod, Malaysia pernah dimalukan dengan kekalahan 0-10 kepada UAE pada aksi kumpulan A pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2018 (Zon Asia) di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi pada 2015.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui kemasukan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dari Gambia yang menggantikan Muhammad Hadin Azman pada penghujung babak pertama perlawanan, jelas menukar tempo permainan sehingga membolehkan skuad kebangsaan bangkit untuk menewaskan skuad Garuda di tempat lawan pada perlawanan semalam.

"Kehadiran beliau (Sumareh) memberi impak positif dan kita lihat pada separuh masa kedua, pasukan beraksi dengan lebih baik sehingga wisel penamat," katanya.

Beliau pada masa sama turut berpuas hati dengan kawalan keselamatan oleh pihak tentera dan Polis Metropolitan Jakarta bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai skuad kebangsaan ke hotel penginapan walaupun terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda selepas berakhirnya perlawanan berkenaan.

Untuk rekod, Cheng Hoe pernah menaiki kereta perisai Barracuda selepas Malaysia menewaskan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2 pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2010 di venue yang sama, di mana beliau ketika itu merupakan penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan kepada Datuk K. Rajagobal. – Bernama