Terbaharu, empat pelumba TSC iaitu Muhammad Zawawi Azman, Akmal Hakim Zakaria, Muhsin Al Redha Misbah dan Fitri Saharil dihantar menjalani latihan lasak di atas gunung di Kayseri, Turki kira-kira empat minggu lalu.

Menurut Zawawi, ba­nyak perkara baharu yang telah mereka pelajari ketika berada di sana termasuk menjalani latihan di bawah tekanan tinggi.

“Kami menjalani latihan di kawasan gunung yang bersalji iaitu ketinggian kira-kira 2,500 dari paras laut. Semasa tiba di sini, saya memang sukar untuk bernafas dan tidak mampu untuk tidur pada waktu malam.

“Untuk mengayuh basikal juga sangat sukar kerana kami memerlukan tenaga yang banyak. Kawasan di sini semuanya berbukit. Rutin biasa dalam menjalani latihan adalah dengan menuruni serta mendaki bukit.

“Pada mulanya memang sukar untuk menyesuaikan diri. Selepas 10 hari, kami mula membiasakan diri dan stamina juga meningkat dengan mendadak. Bagi saya, ini adalah latihan yang wajar dilakukan kepada semua pelumba kerana ia boleh memberi kesan yang sangat hebat pada tubuh badan serta prestasi semasa berkayuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sebagai rekod, pelumba kelahiran Parit Buntar, Perak berkenaan dijadualkan beraksi pada tiga perlumbaan dalam masa terdekat termasuk menyer­tai kontinjen negara ke pentas Sukan Asia 2018 di Palembang dan Jakarta, Indonesia Ogos ini.

“Memang sekarang ini TSC ke arah mempersiapkan pelumba-pelumba ke pentas Sukan Asia. Alhamdulillah, nama saya juga berada dalam senarai awal untuk ke sana.

“Bagaimanapun, saya terlebih dahulu akan menyertai Jelajah Filipina pada 20 hingga 23 Mei ini selain turut disenaraikan untuk menyertai perlumbaan di Poland bulan ini.

“Saya yakin, latihan lasak yang dilakukan ini amat berkesan untuk meningkatkan lagi prestasi saya bagi menyumbang aksi cemerlang buat TSC dan juga negara,” katanya.