Namun, juara dunia keirin 2017 itu mengakui hasrat melihat pelumba muda negara menyinar mungkin sedikit terbantut lantaran kurangnya pendedahan pada kejohanan dalam negara yang sepatutnya menjadi platform perkembangan bakat.

Menurut atlet yang diberi jolokan 'The Pocket Rocketman' itu, pelumba pelapis negara mempunyai pakej fizikal seorang pelumba berstatus dunia tidak seperti dirinya yang bertubuh kecil, dan kelebihan dimiliki mereka itu tidak seharusnya disia-siakan.

"Potensi mereka (pelumba pelapis) besar dan dari segi taktikal serta corak kayuhan, saya nampak mereka ada keupayaan pergi lebih jauh. Mereka juga memiliki saiz yang baik tidak seperti saya. Bagaimanapun saya tetap boleh pergi jauh. Kalau saya boleh, kenapa mereka yang lebih berkelebihan tidak boleh.

"Cuma di Malaysia kita kekurangan perlumbaan yang mampu memberi pendedahan meluas untuk membantu meningkatkan prestasi mereka. Program pelapis kita juga tidak begitu rancak," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Trek GP Asia Tenggara 2018 yang berakhir semalam.

Pada kejohanan berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai itu, pelumba pelapis negara berjaya menampilkan keputusan positif apabila mendominasi dua acara utama melibatkan kategori lelaki junior - pecut dan keirin.

Dua pelumba muda negara, Amar Danial Masri dan Alif Aiman Safuan mengungguli acara pecut dengan merangkul emas serta perak, sementara dalam acara keirin, pingat emas dan perak menjadi milik Taib Azamuddeen Mohd Shukri dan Amar Danial.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba pelapis Zulhelmi Zainal yang bergandingan bersama Ariff Daniel Noor Roseidi, Muhd Hakimi Nor dan Muhammad Shafiq Mohd turut menuai emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan kategori elit.

"Saya lihat ada peningkatan dan berharap mereka akan terus diberikan peluang memperagakan aksi cemerlang pada Kejohanan Asia 2019, Januari depan," kata Mohd Azizulhasni. - Bernama