Pelumba berusia 22 tahun, Hubert yang beraksi bersama pasukan BWT Arden dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar tembok penghadang Litar Spa-Francorchamps hingga menyebabkan jenteranya terpelanting ke tengah litar.

Akibat insiden tersebut, pelumba pasukan Sauber Team Junior by Charouz, Juan Manuel Correa tidak sempat mengelak dan merempuh jentera Hubert dengan kelajuan mencecah 270 kilometer/ sejam hingga menyebabkan Hubert mengalami kecederaan parah.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengeluarkan kenyataan bahawa Hubert yang dikejarkan ke pusat perubatan disahkan meninggal dunia pada pukul 6.35 petang waktu tempatan manakala Correa yang dibawa ke Hospital Liege disahkan stabil.

“Perlumbaan Formula 1, Formula 2 dan Formula 3 sangat sedih dengan kehilangan Hubert berikutan kemalangan di Spa-Francorchamps. Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Hubert dan juga kepada seluruh pasukan BWT Arden.

“Hubert sudah menjadi sebahagian daripada paddock kami sejak tahun 2017. Dia seorang pelumba hebat yang mempunyai masa depan cerah. Dia menjadi Juara Siri GP3 tahun lalu dan musim ini dia tampil cemerlang dengan meraih dua kemenangan F2 di Monaco serta di laman sendiri Le Castellet.

“Dia (Hubert) seorang pelumba yang baik dan disenangi ramai, sentiasa senyum serta bersikap positif. Dengan rasa hormat, perlumbaan hari ini dibatalkan,” kata FIA dalam satu kenyataan semalam. – Agensi