Pada perlawanan itu, Spurs mensia-siakan kelebihan dua gol apabila membenarkan The Gunners melakukan kebangkitan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Meskipun kecewa gagal membawa pulang tiga mata, Pochettino bagaimanapun menegaskan bahawa skuad kendaliannya sudah mula menunjukkan peningkatan selepas tewas kepada Newcastle United minggu lalu.

“Apa yang positif daripada perlawanan ini adalah kami kembali mendapatkan rentak sebenar selepas tewas kepada Newcastle minggu lalu. Pemain sudah mula menunjukkan kemampuan sebenar mereka hari ini (kelmarin).

“Punca kebangkitan Arsenal hari ini (kelmarin) adalah kami membenarkan mereka merapatkan kedudukan sebelum rehat. Gol berkenaan telah membangkitkan semangat mereka dan menyukarkan kami,” kata Pochettino.

Sementara itu, pengendali dari Argentina itu juga mengakui pasukannya mula kembali bersatu memandangkan sebelum ini ada beberapa pemain termasuk Christian Eriksen, Jan Vertonghen dan Toby Alderweireld dilaporkan tidak gembira berada di Spurs dan mahu meninggalkan pasukan.

“Hari ini (kelmarin), Christian (Eriksen) menampilkan aksi cukup berbeza. Saya percaya pemain-pemain ini akan kembali fokus kepada kepentingan pasukan dan tidak akan membuat ‘perangai’ yang menyukarkan pengurusan,” ujarnya. – Agensi