Perkara tersebut diakui ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek yang percaya kualiti permai­nan dimiliki barisan pemain badminton negara setanding dengan pemain lawan dari negara-negara di rantau Asia.

Misbun berkata, ada sedikit kekura­ngan yang dilihat ketara ketika ini iaitu aspek fizikal kerana beberapa pemain negara masih belum mencapai tahap kecergasan 100 peratus untuk bersaing pada peringkat tertinggi.

“Apa yang saya perhatikan sepanjang kempen ini adalah dari sudut taktikal dan teknikal barisan perseorangan negara di­lihat masih boleh mencabar. Cuma, aspek fizikal masih perlu banyak diperbaiki.

“Selepas pulang nanti, saya harap barisan pemain bekerja keras pada sesi latihan kerana kelemahan itu boleh diatasi. Sekiranya keadaan fizikal bertambah baik, secara tidak langsung tahap permainan akan semakin bagus,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar semalam.

Mengulas lanjut, Misbun juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kerana memberi kepercayaan sepenuh kepadanya dalam membentuk barisan perseorangan negara yang masih remaja.

“Saya berterima kasih kepada Presiden BAM (Norza) yang memberi kepercayaan penuh kepada saya dalam membina pasukan ini. Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan persembahan mereka dalam meraih pengalaman penting.

“Kami bersaing pada peringkat separuh akhir menentang China tanpa menurunkan Datuk Lee Chong Wei. Ia adalah perkara positif dan dapat dilihat Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Iskandar Zulkarnain mendapat pengalaman cukup berharga pada kejohanan ini.

“Kini, pasukan masih ada tiga bulan sebelum kempen Piala Thomas 2018 berlangsung dan saya harap permainan ke­semua pemain dapat diperbaiki dari semasa ke semasa,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.