Perkara itu diakui Ketua Jurulatih Malaysian Tigress, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah selepas menyaksikan skuad bimbingannya menewaskan Republik Czech 3-0 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan tersebut kelmarin.

Menurut Dhaarma, ranking skuad bimbingannya mungkin akan melonjak ke dalam kelompok 20 dunia berbanding No. 22 sekarang apabila Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengemas kini semula kedudukan berdasarkan pungutan mata diraih di Ireland Utara dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

“Ada tiga cara layak untuk kelayakan Sukan Olimpik 2020 iaitu empat pasukan Liga Pro FIH, enam daripada tiga Final Siri Hoki Dunia di Ireland Utara, Jepun dan Sepanyol serta empat negara dengan ranking dunia terbaik yang tidak layak menerusi Liga Pro FIH dan Final Siri Hoki Dunia.

“Peluang untuk kelayakan Sukan Olim­pik 2020 cerah apabila kami berjaya mendapat tempat ketiga dan semua pemain menyedari kepentingan perlawanan semalam (kelmarin).

“Malah, jurulatih Republik Czech juga sedar bahawa Malaysia akan memintas mereka untuk menduduki ranking ke-19 dunia selepas tamat perlawanan semalam (kelmarin).

“Jika berada dalam kelompok ranking 20 terbaik dunia, bermakna kami masih mempunyai harapan untuk layak untuk kelayakan Sukan Olimpik 2020. Walaupun kejohanan ini sudah tamat tetapi kami perlu terus berlatih kerana mungkin akan layak,” katanya.

Pada masa sama, Dhaarma menyifatkan Malaysian Tigress sebenarnya sudah berada pada tahap No. 16 dan 17 dunia berbanding ranking semasa No. 22 kerana kejayaan mereka menewaskan pasukan-pasukan dalam kelompok 20 terbaik sejak kebelakangan tahun ini.

“Usaha dan program yang lebih berkesan sepatutnya dilaksanakan kepada skuad wanita yang semakin meningkat dan berpeluang cerah untuk layak ke Pia­la Dunia 2022.

“Kejayaan di sini membuktikan skuad wanita boleh meningkat ke satu tahap membanggakan sehingga ramai pemain-pemain sudah mula mendapat banyak tawaran beraksi dengan kelab-kelab di Eropah,” jelasnya.