Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam (gambar) berkata, menerusi mesyuarat ahli lembaga pengarah, satu usul telah dikemukakan untuk meminda perlembagaan supaya FMLLP dipisahkan daripada badan induk iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, usul itu dikemukakan sebagai langkah proaktif FMLLP membangunkan liga yang lebih bermutu dan maju.

“Kongres FMLLP pada 25 Mac ini akan memutuskan perubahan perlembagaan yang ada dalam FMLLP untuk memisahkan chairmanship FMLLP daripada presidentship FAM.

“Buat masa ini perlembagaan yang ada menetapkan bahawa pengerusi FMLLP adalah sesiapa yang dilantik sebagai presiden FAM. Untuk bergerak lebih profesional kita mahu 24 pasukan dalam FMLLP boleh mengundi dan memilih pengerusi dia sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

Kevin berkata, melalui inisiatif itu pemisahan di antara FAM dan FMLLP akan berjaya dibuat sepenuhnya sekali gus mahu melihat perjalanan liga yang bergerak secara berdikari.

“Dengan perubahan ini, kita akan selari dengan liga-liga maju di dunia yang mana menyaksikan setiap ahli berkepentingan boleh memilih sesiapa pun yang mereka rasa layak, bukan lagi persatuan kebangsaan,” katanya.

Tambahnya, inisiatif itu juga merupakan permulaan dalam menangkis agenda pemisahan politik dan bola sepak yang sering dibangkitkan Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Isu ini berlaku dalam persatuan bola sepak setiap negeri di mana sesuatu pemilihan biasanya akan memilih menteri besar atau sebagainya terus menjadi presiden persatuan.

“Jadi Tunku Ismail sudah lama berkata, bahawa dia mahu pisahkan politik dengan bola sepak. Saya rasa ini adalah satu pendekatan yang baik di mana langkah pengundian satu organisasi yang lain atau pengundian lain yang tidak berkait sepatutnya tidak dipengaruhi influence kepada FMLLP,” katanya.