Beregu yang berada di kedudukan ke-21 dunia itu memiliki peluang cerah untuk menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik sekiranya berjaya melayakkan diri sekurang-kurang­nya ke peringkat separuh akhir di sana.

Aaron mengakui mereka perlu memberikan segala-galanya pada kejohanan di Gwangju itu bagi mendaki carta ranking memandang­kan Korea Masters merupakan kejohanan terakhir mereka bagi saingan musim ini.

“Pada kejohanan ini, kami perlu melangkah sama ada ke separuh akhir atau pentas final kerana ia mungkin mampu melonjakkan kedudukan kami ke kelompok 20 terbaik dunia. Saya harap kami akan kekal fokus sepanjang kejohanan.

“Saya berjanji akan membe­rikan segala-galanya da­lam setiap perlawanan kerana Korea Masters merupakan kejohanan terakhir kami pada tahun ini. Keyakinan tetap ada untuk capai sasaran yang diletakkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Aaron-Wooi Yik secara tiba-tiba mencuri perhatian peminat-peminat sukan bad­­­minton tanah air tahun ini apabila menampilkan aksi konsisten dengan mela­yakkan diri ke pentas final sebanyak tiga kali, namun nasib tidak menyebelahi apabila sekadar naib juara.

Mengulas aksi menentang beregu tuan rumah, Jung Jung Young-Kim Dae Eun pada pusingan pertama hari ini, pemain berusia 21 tahun itu berkata, mereka belum pernah bertemu sebelum ini, namun sedia untuk me­la­kukan analisis terhadap corak permainan lawan.

“Kami belum pernah bertemu mereka sebelum ini, jadi perlu berwaspada kera­na apa-apa boleh berlaku.

“Apa yang penting adalah sentiasa fokus kepada permainan sendiri dan jangan terlalu mengikut rentak lawan,” ujarnya.