Bravo serta KL Barbarians masing-masing berjaya menyambat slot untuk kategori lelaki dan wanita beraksi pada Sukan SEA 2019 selepas mengungguli sesi pemilihan akhir skuad TBR kebangsaan di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang kelmarin.

Pengurus pasukan Bravo, Muhammad Asirullah Kamar yakin anak-anak buahnya mampu mencipta kejutan di Manila nanti berdasarkan catatan masa mereka pada sesi pemilihan akhir tersebut.

"Catatan kami dua minit 10.19 saat lebih baik daripada masa dua minit 11 saat dilakukan Taiwan sewaktu meraih pingat emas pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.

"Jadi, saya yakin kami ada peluang untuk memenangi pingat pada Sukan SEA 2019 tetapi apa pun ia bergantung kepada latihan kami sekarang," katanya.

Bagi kategori lelaki, Bravo dari Putrajaya mengejutkan wakil Pulau Pinang, Pacific West dengan kepantasan masa 2:10.19s untuk tiba terlebih dahulu di garisan penamat berbanding pencabarnya itu.

Dalam pada itu, KL Barbarians menepati ramalan bagi kategori wanita meskipun mendapat tentangan sengit daripada Johor Gemilang untuk merebut slot ke Sukan SEA 2019.

Kedua-dua pasukan berpeluang mendapat program latihan lebih rapi di bawah pemantauan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) termasuk menerima tunjuk ajar daripada pengarah teknikal dibawa khas dari China, Lu Changsong. - K! ONLINE