Malaysia memastikan tempat ke perlawanan akhir apabila mudah membenam cabaran England menerusi kemenangan 3-0 pada separuh akhir di Pusat Sukan dan Rekreasi Carrara di sini semalam.

Justeru, Malaysia bakal membuat perhitungan dengan pasukan yang dianggap sebagai pilihan pada edisi kali ini, India pada perlawanan akhir.

Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar kecil) berharap semua pemain negara bekerjasama serta memberikan sokongan kepada satu sama lain pada perlawanan hari ini.

“India bukan lawan yang mudah dan tidak boleh dipandang rendah, jadi kita kena lakukan persiapan rapi serta mendapatkan rehat secukupnya.

“Memandangkan ini adalah acara berpasukan, saya menggesa semua pemain agar bersatu serta beri sokongan kepada satu sama lain bagi memenangi pingat emas,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Memandangkan temasya di Gold Coast merupakan Sukan Komanwel terakhirnya, pemain berusia 36 tahun itu sedia mencipta memori terindah dengan membantu Malaysia mempertahankan pingat emas.

“Ini adalah Komanwel terakhir dan sudah tentu saya mahukan kejayaan. Saya gembira apabila masih mampu menyarung jersi kebangsaan pada usia sebegini,” tambahnya.

Tugas berat dipikul Chong Wei pada aksi final hari ini apabila bakal bertemu sama ada pemain No. 2 dunia, K. Srikanth atau H.S. Prannoy dalam acara perseorangan lelaki.

Pada aksi semalam, Malaysia memperoleh mata pertama menerusi beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sebelum Soniia Cheah menggandakan mata dalam perseorangan wanita, manakala mata kemenangan disumbang Chong Wei.