Selepas dilangsungkan di empat buah zon iaitu di Zon Utara pada 30 Jun, Zon Selatan (6 Julai), Zon Tengah (7 Julai) dan Zon Timur pada (13 Julai) seterusnya acara kemuncaknya bakal diadakan di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 27 Julai depan.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada menjelaskan kejohanan tersebut telah di sertai oleh 64 pasukan yang melibatkan 960 pemain kanak-kanak yang merupakan bakat terbaik bola sepak di seluruh negara. 

Jelasnya, penganjuran berkenaan dilihat mampu mencetuskan satu dimensi baru dalam pembangunan bola sepak negara untuk melahirkan produk yang berkualiti.

“Kami merasakan bahawa kanak-kanak ini perlu diberi peluang untuk menyertai kejohanan yang bertaraf antarabangsa seawal usia muda bagi melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti satu hari nanti. 

“Melalui kejohanan yang kompetatif seperti ini ianya akan meningkatkan kemahiran yang ada di samping memberi peluang kepada kanak-kanak terlibat mendapat satu pengalaman baru beraksi di luar negara,” jelas Hamada semalam.

Sebagai rekod, sebanyak 16 pasukan sahaja telah layak untuk menyertai peringkat Grand Final dan ia merupakan empat pasukan terbaik di setiap zon terlibat. - K! ONLINE