Pembinaan gudang yang bermula Julai 2017 dan beroperasi pada September lepas itu menelan kos seba­nyak RM350,000.

Kemudahan seluas 325.16 meter persegi berkenaan mampu menempatkan lebih 100 tong minyak pelincir yang setiap satunya berkapasiti 209 liter.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus berkata, pihaknya turut melantik Koperasi Pemuda Patriot Pengerang Kota Tinggi Bhd. (Kopetri) sebagai rakan kongsi bagi mengendalikan gudang tersebut.

“Sejak dilantik pada September lepas, Kopetri telah merekodkan jumlah jualan sebanyak RM180,000 setakat Disember lalu dan dijangka mencecah RM1.5 juta pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar bersempena majlis perasmian gudang berkenaan di Kampung Bukit Raja dekat sini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Minyak pelincir itu termasuk dalam bentuk minyak gear, enjin, dan hidraulik yang menggunakan jenama Petronas Urania. – Bernama