Pasukan campuran yang dianggotai dua pelumba berpe-ngalaman serta empat pelumba remaja itu turut menghuni kedudukan No. 2 Asia dengan catatan masa keseluruhan 88 jam 25 minit 18 saat (s) sekali gus berjaya meninggalkan pasukan benua negara, Terengganu Inc. TSG Cycling Team di kedudukan ketujuh.

Pengurus pasukan kebangsaan, Amrun Misnuh mengakui ia adalah pencapaian terbaik Malaysia sepanjang dia menjadi pengurus bagi 16 edisi LTdL.

“Jadi, kebangkitan pasukan Malaysia bermula di Genting Higlands, Pahang. Saya hanya minta mereka supaya tidak berpecah sepanjang perlumbaan dan mereka berjaya melaksanakannya. Saya sangat berpuas hati kerana para pelumba ini hanya sempat menjalani latihan selama sebulan setengah.

“Ketika saya menjadi pengurus pasukan sebanyak 16 kali, pasukan kebangsaan biasanya akan menamatkan saingan di kedudukan ke-15 hingga 22. Namun, pada tahun ini saya tidak jangka mereka boleh berada di kedudukan ke-11 keseluruhan.

“Bagi edisi seterusnya, saya berharap pasukan kebangsaan menjalani latihan dengan memberi fokus kepada laluan berbukit. Saya juga berharap agar Sofian (Nabil Omar Mohd. Bakri) diberi peluang ke Sukan SEA 2019,” katanya.