Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ia bertujuan untuk memastikan setiap pasukan dapat bersaing dan bersedia daripada pelbagai segi termasuk kewangan dan pelan pembangunan jangka panjang.

“Setiap pasukan perlu disiplin jika mahu memastikan kelangsungan skuad mereka dalam tempoh jangka panjang sesuai dengan tujuan perangkaan pelan strategik ini.

“Mereka (pasukan) juga perlu berubah kepada penswastaan bagi mengelakkan bola sepak bebas daripada sebarang pe­ngaruh politik selain bergantung kepada kewangan kerajaan ne­geri.

“Selepas ini, MFL tidak lagi melayan sebarang isu membabitkan masalah dalaman pasukan sebaliknya mereka (pasukan) perlu berdisiplin untuk terus maju ke depan,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran pelan strategik 50 tahun di Studio Iskandar Malaysia dekat Iskandar Puteri semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Terdahulu, Kevin menyampaikan penerangan berhubung pelan yang membabitkan empat visi melibatkan pertandingan, sumber manusia, nilai komersial dan pembabitan penyokong selaras dengan kehendak Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurut Tunku Ismail, pelan yang turut mendapat kerjasama daripada pengendali Liga Sepanyol (La Liga) dan Liga Jepun (J-League) bakal memberikan sisi baharu dalam pembangunan bola sepak Malaysia.

“Justeru, kerjasama daripada semua pasukan amat diperlukan bagi memastikan liga Malaysia terus berkembang. Tidak guna sekiranya visi ini ditetapkan namun pasukan tidak dapat memainkan peranan masing-ma­sing,” katanya.