Pada majlis perjumpaan pemain Kemudi FC tersebut, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim dan merangkap pengurus pasukan, Azran Fitri Abdul Rahim  turut menyerahkan cenderahati berupa jersi kepada Penolong Pengurus McDonald's Pengkalan Chepa, Yusri Husain.

Turut hadir pada majlis itu, Penolong Pengurus Kemudi FC, Nik Mohd. Zulhafiz  Zulkifli , jurulatih pasukan, Chia Chee Lin dan 20 pemain terlibat.

Azran Fitri berkata, Kemudi FC berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi kejohanan itu melibatkan 16 pasukan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM)  bermula 15 Februari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada PUC Sport, Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) dan Jamu Nenek Sdn. Bhd kerana bekerjasama menaja pasukan.

"Saya berharap para pemain menunjukkan semangat yang tinggi dan mencipta kemenangan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pemain," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Sementara itu, Yusri berkata, dia berharap Kemudi FC dapat mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan nanti.

Dalam masa sama ujarnya, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan Kemudi pada masa-masa akan datang.

"Saya menyokong program ini yang dilihat mampu mengeratkan hubungan antara media dan pihaknya serta agensi kerajaan yang bertanding," katanya

Kemudi FC yang dibarisi wartawan, petugas media dan beberapa pemain jemputan dari seluruh negeri ini bakal menentang pasukan Pos Malaysia bagi perlawanan pertama pada 16 Februari ini  - K! ONLINE