Keputusan itu memberi tamparan buat Pahang Rangers untuk terus menghimpit rapat kedudukan pendahulu Selangor yang berjaya melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada enam mata hasil kemenangan 6-3 ke atas KL City dalam perlawanan berlangsung pada hari yang sama.

“Kita bermain di bawah tahap sebenar dan melakukan beberapa kesilapan ketika bertahan, menjaringkan banyak gol tetapi dalam masa sama melepaskan banyak gol. Terengganu pula bermain dengan lebih agresif di babak kedua dan satu mata kali ini adil buat kedua-dua pasukan berdasarkan komitmen yang ditunjukkan.

“Apa pun kami tidak boleh membiarkan keputusan perlawanan ini menyentap semangat dan moral pemain untuk aksi seterusnya. Kami masih ada empat perlawanan, semuanya ibarat final. Peluang masih ada dan kita perlu berjuang untuk menang semua perlawanan,” kata Taufik. 

Pada perlawanan itu, Terengganu berada di depan menerusi sentuhan Hafizi Ismail namun dua jaringan pantas pemain kebangsaan Khairul Effendy Bahrin dan Abu Haniffa Hassan memberikan kelebihan 2-1 di separuh masa pertama buat Pahang Rangers. 

Norkhairi Abdul Rahman kemudian menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-23 tetapi seminit kemudian Amirrul Izad Adang merapatkan kedudukan 2-3 sebelum Firdaus Ambiah mengembalikan kelebihan dua gol buat Pahang Rangers. 

Akil Khalis Adli menjadikan kedudukan 3-4 buat Terengganu pada minit ke-27 namun giliran seorang lagi pemain kebangsaan Harith Naim Mohd Nasir pula meledak untuk menjadikan kedudukan 5-3 memihak kepada Pahang Rangers sebelum Terengganu bangkit dengan dua gol menerusi Alif Mat Amin dan Hafizi untuk mencuri satu mata. 

Pahang Rangers ketika ini berada pada kedudukan kedua MPFL 2019 dengan 29 mata, enam mata di belakang Selangor namun beraksi kurang dua perlawanan. 

Dengan kelebihan jaringan juga memihak kepada Selangor, ini bermakna Pahang Rangers perlu memenangi baki empat aksi menentang Melaka (15 September), Pulau Pinang (18 dan 29 September) serta Perak (23 September) dengan jaringan besar. - K! ONLINE