Kapten skuad Tok Gajah, Matthew Davies berkata, Pahang akan memberikan aksi terbaik dalam misi mengutip tiga mata pertama bagi saingan musim ini.

Tonggak pertahanan skuad bimbingan Do­llah Salleh itu menambah, misi tersebut ha­nya akan tercapai sekiranya semua pemain menjalankan peranan masing-masing pada tahap terbaik.

“Kami berharap dapat menjalankan pe­ranan di posisi masing-masing dengan baik dan berkesan pada perlawanan pertama untuk mengutip tiga mata buat pasukan serta penyokong.

“Segala persiapan yang dilakukan sebelum ini juga diharap dapat memberikan hasil terbaik dan seterusnya menjadikan pasukan ini lebih baik berbanding musim lalu,” ujar Davies.

Malam ini, Pahang bakal menurunkan bekas penyerang skuad kebangsaan dan Felda United, Norshahrul Idlan Talaha yang digandingkan dengan tonggak tengah import dari Gambia, Mohamadou Sumareh.

Turut digandingkan bagi menajamkan rentak permainan Pahang ialah tonggak te­ngah serangan skuad kebangsaan Kemboja, Chan Vathanaka yang mempamerkan prestasi positif sepanjang tempoh persiapan Di­sember dan Januari lalu.

Bulan lalu, Davies bersama dua lagi pemain Pahang, Nor Azam Azih serta R. Ko­gileswaran bagaimanapun tidak menyertai sesi latihan skuad Tok Gajah kerana membantu pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara dalam aksi Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China.

Meskipun tidak dapat mengikuti sesi latihan penuh yang diadakan selama dua bulan bersama Pahang, Davies dan Nor Azam berjaya mempamerkan pencapaian terbaik apabila membantu skuad B-23 kebangsaan ke peringkat suku akhir di China.

Mengulas tahap peningkatan dipamerkan semua pemain selepas menjalani persiapan sejak dua bulan lalu, Davies berkata, keha­diran beberapa tonggak baharu juga diyakini mampu mencipta serangan lebih berbisa menjelang aksi sulung malam ini.

“Keseluruhannya, Pahang sudah bersedia memberikan aksi yang lebih baik untuk mendapatkan kedudukan tempat teratas Liga Super musim ini dan memenangi satu piala,” katanya.